Friday, May 1, 2009

SISTEM KAPITALIS suatu arah menuju ?




Pernah saya memapar satu POSTING tentang kegagalan sistem ekonomi kapitalis atau dikenali sebagai laissez-faire. Suatu sistem yang sangat bergantung harap kepada aliran kewangan dan tunai sebagai satu-satunya darah yang mengalir dan membolehkan ianya bernyawa. Sistem yang mengerah manusia secara TRENDY melalui dorongan gaya hidup mewah, fesyen terkini, teknologi terbaru, kepuasan dalam pemilikan dengan kebergantungan kepada sistem perbankan melalui perjanjian kredit dan kadar caj faedah atas setiap bentuk perkhidmatan walaupun secara maya.

Satu demi satu tembok gagah yang dulunya gah sebagai simbol kemewahan golongan kapitalis menuju zaman gelap. Terbaru Chrysler syarikat pembuatan kereta ketiga terbesar di AS dan berpengkalan di Detroit akan memfailkan kebankrapan dan sekali lagi kerajaan AS akan menyuntik darah baru kedalam akaun syarikat supaya tempoh kebankrapan hanya untuk 30~60 hari. Bayangkan betapa pentingnya syarikat ini kepada kerajaan AS di mana Detorit itu sendiri terbina kemakmuran kehidupan akibat kebergantungan hidup mereka dengan suasana ekonomi yang diwujudkan oleh syarikat Chrysler. Chrysler telah menerima dana kerajaan pada awal tahun ini dalam pakej yang diumumkan oleh kerajaan AS. Kerajaan AS amat berharap penggabungan Chrysler kedalam FIAT dapat memberi nafas lebih lama walaupun suasana pasaran terhadap permintaan keluaran auto amat rendah kini. Adakah FIAT yang berani mengambil langkah menyelamatkan nyawa Chrysler juga mampu mengharung liku-liku pasaran yang semakin gelap?

Saya hanya menulis setelah membaca beberapa jurnal ekonomi mengenai isu ini. Saya tidak arif untuk berdebat perihal ekonomi. Tetapi berdasar ilmu ekonomi yang diperolehi semasa sekolah menengah meyakinkan saya bahawa hanya pengguna yang berupaya menghidupkan semula kerancakan pasaran dengan menambah atau mengekalkan permintaan pada satu tahap menguntungkan kepada kadar operasi dan pengeluaran sesuatu produk. Hari ini pengguna sendiri semakin terjejas kerana dibeban dengan kredit tang melampau akibat gaya hidup yang diampu oleh TREND dan IKLAN yang menjurus hawa nafsu agar berbelanja lebih daripada pendapatan. Pengguna juga telah menghadapi kesuraman akibat kenaikan harga barang yang tidak menentu dan juga kadar tabungan yang semakin menyusut kerana digunakan untuk menampung segala kredit yang melampau di sana sini. Pakar ekonomi menafsir dari segi pasaran makro dan saya menafsir dari kaca mata saya sebagai seorang pengguna dan juga peniaga yang berada diperingkat mikro.

Hanya masa yang akan memberitahu bila krisis ini akan berakhir. Tetapi bila berakhirnya nanti adakah kita masih akan terus mendukung sistem kapitalis ini? Ia memperdayakan hidup kita dan menjadikan kita hanya sekadar darah yang mengalir dalam sistem mereka tanpa memikir untung rugi kita sebagai manusia dan pengguna. Dikebanyakkan dunia maju dan membangun kerajaan memberi bantuan kepada syarikat-syarikat multinasional untuk memulihkan pasaran dan mereka merayu kita pengguna agar jangan takut berbelanja agar mereka memperoleh aliran kewangan semasa. Apabila semua ini selesai dan apabila mereka kembali bernyawa kuat adakah kita pengguna atau manusia ini diberi keistimewaan tertentu kerana tanpa kita tiada permintaan. Mereka akan terus menghanyutkan kita dengan TREND baru, FESYEN baru, TEKNOLOGI baru, KEGILAAN baru agar kita lebih ghairah berbelanja dan menambah kredit. Satu juta manusia dihukum muflis akibat hutang berlebihan tidak bantu tetapi sekumpulan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat multinasional harus dibantu sedangkan mereka ini tidak pernah menggunakan tabungan mereka sendiri sebaliknya menggunakan wang hak milik rakyat untuk menyambung hidup mereka.

Sepertimana canang-canang dari mulut Barrack Obama agar AS perlu BERUBAH. Maka rakyat seluruh dunia juga perlu berubah dan berani mengubah agar sama-sama menolak sistem kapitalis dari terus menjadi nadi ekonomi dunia yang bulat-bulat menipu manusia ramai walaupun saban kali berlakunya krisis ekonomi.

2 comments:

ZulBahau said...

Krisis ini sebenarnya sudahpun membunuh sitem kapitalis. Amerika secara hakikinya kini adalah United State of Socialist Republic. Sistem kapitalis secara dasarnya tidak mengkehendaki campurtangan kerajaan dalam mana mana aktivti ekonomi. Sistem dimana ada campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi adalah sistem sosialis. Semua sistem ekonomi adalah tidak sempurna. Sistem kapitalis ditunjangi sikap tamak haloba. Sistem sosialis biasanya dibebani masalah rasuah.

Tun Dr M ada cadangan tentang sistem ekonomi baru dunia, tapi selagi pemilik bank diamerika menguasai dunia, mereka akan menguasai kita.

Leenoh said...

Salam.

Sistem ekonomi kapitalis, sosialis dan apa sahaja sistem selain Islam, mereka hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kebajikan masyarakat, ianya berjalan tanpa kesian belas, mengaut keuntungan semahunya.
Sistem ekonomi Islam sentiasa mempunyai roh timbangrasa dan keadilan kepada manusia umum, di sana terdapat zakat wajib , zakat sunat (sedekah) dan perniagaan tanpa riba.
Memang betul seperti kata Zulbahau pemilik bank akan terus mempertahan sistem penindasan mereka berterusan.
Entri ini sangat baik kerana memberi informasi ke arah kesedaran dan menambahkan pengetahuan.