Tuesday, March 24, 2009

WHERE IT BEGINS



'Jauh Perjalanan Luas Pengalaman' & 'Sambil Menyelam Minum Air' merupakan dua kata-kata tradisi yang mengheret aku bergelumang dengan dunia yang aku harungi hari ini.

Zaman kecil aku adalah seorang MENACE dalam sebuah keluarga besar. Dikelilingi oleh kehidupan kampung yang sederhana tetapi MERIAH suasananya.

Zaman sekolah rendah aku adalah seorang yang berdisplin tinggi, komited dengan persekolahan dan juga aktiviti sukan. Cuma aku ketinggalan dalam aktiviti pasukan beruniform kerana ayah aku mengingatkan dengan tegas bahawa aktiviti beruniform ini ibarat kerja sebagai pencacai. Maaf aku tak faham ayah aku itu sehinggalah hari ini bila aku mengenali dunia yang lebih luas dan lebih mencabar. Betul kata ayah aku itu walaupun ada kebaikan aktiviti itu walaupun sekelumit.

Zaman sekolah menengah aku amat menyedihkan. Hanyut dibawa arus mengenal jati diri dan hampir lemas kerana lena dengan keseronokan dunia remaja. Ayah yang tegas dan berkomitmen tinggi dalam menentukan hala tuju anak-anak amat bijak dalam mencatur strategi menghalang aku dari terus hanyut. Aku cemerlang pada penghujungnya tetapi sedikit mendukacitakan hingga hari ini kerana beberapa kesilapan kecil yang aku sepatutnya bijak menangani.

Zaman muda di IPT aku kembali hanyut kerana amukan budaya yang pelbagai meresap dalam jiwa. Mujur aku lepas walaupun aku bukanlah dari kalangan yang cemerlang tetapi sekadar layak bergelar graduan.

Fasa pertama zaman dewasa aku bermula dengan penuh gemilang. Dalam usia muda dan kurang dari 3 bulan dalam kerjaya aku mampu memiliki sebuah kereta, menjana jualan jutaan ringgit, bertemu dengan professional dari pelbagai negara dan bahasa dan mengembara beberapa negara. Pemikiran aku menjadi tangkas tetapi sayangnya aku mirip kepada wajah kapitalis. Aku jatuh seketika kerana kerakusan dalam mengejar objektif kapitalis pada usia muda. Banyak yang aku tertinggal dan sekali lagi sukar memaafkan diri sendiri kerana kurang mendengar nasihat ayah yang sangat relevan walaupun dia dari era pemikiran yang berbeza.

Percintaan aku yang pertama bermula pada zaman ini tetapi agak malang aku bukan jenis lelaki yang menjadi bahu rintihan hati seorang wanita. Aku seorang kapitalis muda dan rakus mengejar cita-cita. Maafkan aku jika ada hati yang terguris pada waktu itu, bukan kerana tiada cinta tetapi kerana impian seorang anak muda yang ingin menjajah dunia belum terlaksana.

Fasa kedua kehidupan dewasa aku dimulakan sekali lagi dengan kerjaya yang lebih mirip wajah sosialiti. Kerjaya mendidik secara sambilan mengajar aku erti kepuasan sebenar. Keputusan adalah kayu ukur sebenar dan bukanlah imbuhan! Semangat baru disuntik dengan keberanian yang masih hijau seperti dulu.

Episod baru bermula dengan langkah lebih tersusun dan strategi mirip professional. Segala pengalaman dulu dijadikan objektif mengejar cita-cita baru. Banyak perubahan berlaku dan banyak kebaikan mendatang. Pergaulan aku bertambah matang dan pemikiran bertambah kritis dengan analisa mendahului keputusan. Masyarakat menjadi tempat aku belajar norma sikap manusia dan sifat kemanusiaan.

Hari ini setelah puas mengharungi barulah aku faham apa itu kehidupan dan kenapa kepimpinan itu penting dalam menentu hala tuju manusia. Setelah aku sendiri menjadi ayah barulah aku faham segala apa isi konsep pemikiran ayah aku dulu dan mungkin aku juga kini mirip ayah. Mungkin dengan pendekatan yang berbeza tetapi aku perlu mengikuti jejak kepimpinan beliau yang aku SALUTE amat berjaya dan patut aku kaji dan dalami agar menjadi satu formula yang lebih sistematik. Cuma aku ini tiada pentauliahan dalam bidang antropologi maka tiada kajian untuk dibentangkan tetapi apa salahnya melalui blog penulisan ini aku menghidupkan formula itu sedikit demi sedikit. Barangkali di luar sana ianya bermanfaat buat manusia dan matinya aku ada penyambung amalan hingga akhirat. Insya Allah.

PENULISAN DI ATAS ADALAH ANTARA SATU MUHASABAH DIRI SEBELUM SAYA MEMULAKAN SIRI PENULISAN SAYA TENTANG KONSEP 80:20 DENGAN LEBIH MENDALAM. DUA KALI SAYA MENULIS TENTANG KONSEP 80:20 INI YANG MANA SAYA AMAT MINATI OBJEKTIF KONSEP INI YANG MENJURUS KEPADA PEMIKIRAN RINGKAS DALAM MEMBUAT PERUBAHAN DRASTIK. IANYA JUGA BERTUJUAN MENYIAPKAN DIRI SAYA SENDIRI DALAM MENGIKUTI PENGAJIAN BIDANG SEDEMIKIAN MUNGKIN ADA TAHUN HADAPAN. JADI ADA BAIKNYA SAYA BERSEDIA SEBELUM MEMASUKI KULIAH PENGAJIAN AGAR KEKESALAN DULU DAPAT DITEBUS DENGAN KECEMERLANGAN.INSYA ALLAH ANDAI ADA BAROKAH DALAM SETIAP YANG SAYA LAKUKAN MOHON DIPERMUDAHKAN PERJALANAN INI MENUJU DESTINASI.

1 comment:

Anonymous said...

Hukum alam. merangkak dulu baru bangun. Hanya bayi yang lahir dengan Sudu Perak boleh terus bangun tanpa merangkak dahulu (mungkin bapa dia kasi minum susu awal lembu yang mahal). Tetapi bila dia terjatuh, bayi itu susah nak bangun sebab tak tahu merangkak.

Bola yang terjatuh dari tempat tinggi akan menghentam tanah dan melantun naik tinggi semula. Bola yang jatuh dari tempat rendah akan melantun naik pun rendah atau mungkin tak melantun langsung! Jadi janganlah risau selagi ada usaha dan doa.

Jasa besar seorang ayah terasa sangat bila dia dah tiada. Saya menyesal sangat sebab kurang mengambil hatinya semasa hayatnya. Semenjak umur 13 thn hingga 23 thn saya tinggal di asrama. Umur 24 thn dah merantau sebab kerja.