Saturday, September 26, 2009

Menebar Lembaran Dalam Lebaran

Assalamu'alaikum dan Selamat Sejahtera buat pengunjung yg melawati blog ini secara tabii atau secara pintas lalu. Penulis memohon maaf di atas sebarang salah dan silap yg sengaja atau tidak sengajakan sepanjang BLOG ini beroperasi dari meja tulis yang kecil dalam ruang pejabat kecil yang lebih afdal disebut sebagai pejabat dalam rumah (SOHO: Small Office Home Office).

Sebelum menulis post kali ini penulis terlebih dahulu bermuhasabah sejenak agar selepas memohon maaf di awalnya agar penulis kurangkan emosi peribadi dikala menaip bait rangkap penulisan agar sekali lagi tidak menyentuh hati para pengunjung. Ini satu anjakan sikap yg perlu penulis amalkan mulai hari ini dan pada masa hadapan. Terbayang dalam benak penulis tentang banyak perkara yang telah berlaku, sedang berlaku dan kemungkinan akan berlaku dalam kehidupan penulis yang berkongsi dunia dengan pengunjung samada sebagai manusia yg masing-masing punya kehidupan sendiri dan sebagai saudara seagama (Islam) khususnya. Adakah hari-hari yg pernah dilalui, sedang dilalui dan bakal dilalui penulis sama dengan pengalaman pengunjung ? Wallahualam Bissawab

Walau apa yg kita lalui, penulis ingin sekali berharap agar laluan yg kita redahi dan bakal dijejaki adalah satu-satunya jalan yg benar, telus dan lurus agar sama-sama kita berjumpa semula di hari kemenangan di syurga hendakNya kelak mengadap Yang Maha Esa tuhan kita Allah SWT. Inilah matlamat yg penulis cuba bangkitkan dalam setiap penulisan penulis mulai hari ini di mana setiap yg dipapar dapat menjadi manfaat buat umat manusia lainya dan dapat digunakan untuk kebaikan manusia juga ..Insya Allah.

Teringat...
20 tahun yg lalu semasa penulis masih dalam dunia kanak-kanak, yang girang dan teruja ingin menyambut kedatangan lebaran Aidilfitri. Dalam kegirangan yang oenuh diisi dengan perancangan untuk mencuba pakaian baru, makanan yg enak, bertemu sanak saudara dan juga berkunjung ke rumah-rumah saudara Islam yang lain untuk memperoleh duit saku raya. Masa itu kehidupan penulis terasa sangat indah dan sangat girang, setiap masa bersama rakan-rakan dan saudara sangat rapat hinggakan penulis terasa sayu apabila cuti lebaran kian ke penghujung dan saudara kandung penuis bersiap untuk pulang ke destinasi masing-masing. Esok tiada lagi raya buat penulis apabila mereka mula berangkat pulang. Abang dan kakak penulis masa itu ramainya masih menuntut di IPT dan ada yg sudah berkeluarga jauh nun di perantauan. Sebak apabila keramahan dan kemesraan penulis bergurau senda dengan abang-abang khususnya terpaksa di hentikan apabila mereka jauh smeula dari pandangan mata. Penulis adalah anak lelaki bongsu dalam keluarga besar seramai 11 adik-beradik. 3 adik penulis kesemuanya perempuan dan jarak umur penulis dengan abang-abang pula 10 tahun dan lebih jaraknya. Terpaksalah penulis menghadapi semula kehidupan seharian yg dipenuhi rutin ketat dengan peraturan ayah penulis. Tidak dibenarkan keluar rumah apabila pulang dari sekolah dan hanya dibenar bermain disekitar halaman rumah. Masa itu adik-adik perempuan penulis diajar oleh penulis bermain bola sepak di depan halaman rumah dan adakalanya penulis pula kena bermain permainan mereka iaitu lompat getah, congkak atau batu sembilan (batu tujuh namanya di Penang). Malam hari penulis perlu bergegas siapkan baki kerja sekolah dan makan pada waktu yg ditetapkan dan tidak boleh melewatkan makan malam. Perlu periksa kelengkapan sekolah agar tiada yg tertinggal dan pastikan penulis perlu bangn pagi pada masa yg tepat agar tidak berebut-rebut dengan adik-adik dan juga seorang dua kakak yg bersekolah menengah dan yg ingin pergi bekerja. Masa itu siapa yg lambat bangun tunggulah dia di depan pintu panchor (bilik air) yg terletak diluar rumah ditemani cahaya pelita yg dipegang agar tidak takut akan kegelapan kala subuh hari. Hari-hari itu amat diingati kerana di situlah keakraban penulis dan adik-beradik kandung terjalin dek kerana perebutan waktu mandi, berebut lauk waktu makan, bergaduh kerana kenakalan masing-masng dan bergelak ketawa bersama depan TV apabila menonton rancangan yg diminati. Juga tak lekang dalam ingatan berebut menggunakan basikal kerana hanya ada tiga basikal di rumah dan yg ingin menggunakannya ada lebih dari itu. Penulis ke sekolah berjalan kaki sahaja kerana jarak yg tidak jauh dairi rumah sejak dari tadika hinggalah ke darjah enam.

Dunia lampau sebegini sememangnya mengajar banyak erti kehidupan dalam tidak sedar penulis dapat mengingat banyak peristiwa masa itu berbanding dengan peristiwa ditempat penulis berkerja atau berniaga. Mungkin kerana nilai peristiwa itu ibarat panduan kepada penulis agar sentiasa mengingat diri penulis di mana penulis bermula dan di mana penulis berada pada suatu ketika. Demi nilai persaudaraan sebegitulah penulis cuba agar tidak mengajar anak penulis untuk tidak leka dengan dunia moden yg dilengkapi dengan Playstation, rancangan TV satelit 24 jam, hiburan di pusat membeli belah, dan permainan yg melekakan. Mungkin terlalu awal buat anak-anak penulis yg maish berumur 2 tahun dan 1 tahun. Tetapi inilah cabaran yg bakal dihadapi oleh penulis kelak apabila anak-anak meningkat usia di mana akan tiba masa tuntutan dari anak-anak yg mahukan kehidupan yg serba moden sepertimana rakan-rakan mereka (kemungkinan). Penulis mahukan anak-anak yg bersifat sayangkan keluarga dan utuh rasa cinta pada suasana kekeluargaan khususnya dalam suasana istimewa seperti menyambut hari lebaran. Penulis mahukan anak-anak rindu untuk makan bersama di pagi lebaran, bersama berbual berkongsi cerita dan teruja menyambut kemenangan dan perjuangan melawan nafsu di bulan Ramadhan. Bukannya dalam suasana yg tiada beza dari hari kebiasaan yg mana masa anak-anak dihabiskan didepan monitor playstation dan di depan layar cerita TV satelit 24 jam. Ada atau tiada sanak saudara disekeliling tidak memberi erti kerana dunia anak-anak sudah diprogram untuk melayani asyiknya keseronokan alat-alat teknologi moden yg bakal mengheret institusi keluarga ke satu dimensi yg fungsinya hanya sekadar untuk bergelar anak dan bapa atau anak dan emak tanpa ada rantaian keperluan antara satu sama lain. Seriusnya penulis berfikir tentang ini hinggakan penulis meluahkannya dalam post kali ini. Penulis berharap pengunjung BLOG ini dapat sama-sama mengukuhkan semula institusi kekeluargaan dan eratkan kekuatan persaudaraan. Pentingnya kita kuat dalam satu aqidah, satu kiblat dan satu agama agar tidak terpesong dalam perjalanan yg masih berliku buat umat Muhammad SAW yg mana sudah dijanjikan dengan tipu daya oleh pihak musuh yg berpaksikan iblis dan syaitan. Semoga kita beroleh kemenangan mutlak dalam memperoleh janji-janji Allah SWT buat hambaNya dan ambillah peluang di hari lebaran kali ini agar sama-sama kita lembarkan satu cara hidup yg lebih baik dan diredhaiNya.

No comments: