Saturday, February 13, 2010

SATIRA KEBANGSAAN

Empayar bermula dengan keringat hamis dan darah menyala, menyongsong arena menongkah daya kekuatan fizik sang penakluk dengan menghunus muncung logam. Perit terasa tapi puas menyedut merdeka kerana berbaloi darah dan nyawa berkorban untuk nusa.

Si bodoh di ulu memanjat cita dan menjadi wira bangsa. Diajar rebung muda sayangkan negara dan tebalkan ilmu di dada. Kebarangkaian yang bijak menjadi kera mendapat bunga semakin menggila. Habis dipusing kepala angin dan umat sekitar menjadi pening.

Anak kecil yang kini berjanggut putih usia tak keruan apa sandiwaranya. Hulubalang bersilih ganti, senjata kekadang memakan diri. Namun satira kebangsaan tak kunjung kemuncaknya. Kerana bijaksana bentara dan bendahara yang licin sandiwara masih di sini sana. Empayar hanyut setitis demi setitis dan setapak demi setapak datang semula sang penakluk yang halusnya bicara namun wajahnya adalah anak kebangsaan.

Selesai nanti empayar sudah lebur binasa dek angkara hulubalang, bentara dan bendahara yang petah bersandiwara. Salah dan benar lontaran kata-kata tak cukup lemparan nista dan dusta. Mangsanya anak kebangsaan yang muda tuanya menjadi kincir roda kehidupan satira.

No comments: