Tuesday, March 9, 2010

BUASIR AKA HEMMORHOID (derita yang disayangi)

Aku menyayangi derita ini selama hampir 10 tahun lamanya. Ianya telah bersama dalam setiap detik hidup aku. Apa yang buruk mengenainya aku sembunyikan dan apa yang baik untuk merawatinya aku amalkan. Ianya suatu derita dan bukanlah teman rapat, tetapi hampir 50% manusia di garisan iklim tropika ini menghadapinya. Ada yang mengusung buasir dalaman dan ada yang mengusung buasir luaran. Sakit berpanjangan jika bengkak terkeluar dari kantung kelaziman, darah memercik atau menitis perlahan dan berjalan kengkang tanda kegawatan.

Ini semua gejala pemakanan dan juga cara hidup manusia sekalian. Aku sayang buasir ini hampir 10 tahun lamanya, kerana ianya menjadi bukti kepada keganasan nafsu makan yang tanpa pantang dan kawalan. Bukti keegoan aku sebagai pesakit yang malu berhadapan dengan realiti. Mungkin juga pada ribuan yang lain, ianya lambang kemegahan masing-masing. Tetapi terdetik di hati aku apabila kesakitan memuncak dan apabila dikaji ianya sudah melarat ke tahap menjadi ejen kesakitan yang lain dan yang mungkin membawa mudarat iaitu knser usus (kanker) atau kematian tisu (gangrene).

Keegoan aku terhakis hari demi hari, banyak nasihat dan pendapat dicerna dan dikaji juga hari demi hari. Akhirnya ego dalam diri aku tewas dan longlai apabila aku mengambil keputusan membawa buasir yang disayangi ini ke muka pengadilan. Aku sudah pasti tidak membawa ianya ke meja rundingan kampung atau tradisional yang belum pasti ada penarafan akan tahap kebolehan mereka. Jadi aku perlu membawa perkara ini ke meja penghakiman yang sewajarnya iaitu milik kerajaan. Hakim peringkat seksyen mengarahkan kes ini dibawa ke mahkamah tinggi di mana ia akan diadili oleh para juri dan hakim yang lebih berpengalaman dalam kes sebegini. Hakim mahkamah tinggi tanpa wasangka menjatuhkan hukuman agar anasir buasir ini serta merta dibuang daerah jauh dari aku agar aku kembali hidup tanpa rasa takut akan ancamannya lagi. Tapi hukuman itu ditangguhkan lagi 3 minggu kerana almaklum kamar mahkamad sentiasa penuh dan aku perlu menunggu giliran.

Dengan keberanian dan keazaman agar hidup aku kembali aman terus saja nekad aku membawa kes ini pula ke mahkamah lain yang pastinya aku tahu penghakiman dan hukuman akan berjalan serentak di hari yang sama. Bezanya gaji para hakim dan juri ditanggung 100% oleh aku. Andai aku memiliki nilai insurans diri yang mencukupi maka ianya bukan suatu BIG DEAL. Nekad aku menemui hakim dikamar dan terus saja hakim ini menyangkal hukuman buang daerah kerana ianay juga mempunyai implikasi atau kesan yang lain pada diri aku. Maka hakim menilai secara mendalam dan akhirnya dia menjatuhkan hukuman pasung pada buasir yang aku bawa. Hukuman berjalan dengan pantas (10~15 minit) dan tanpa sebarang pembiusan/pelalian. "Selesai", itu saja aku dengar dari mulut yang menjalankan hukuman serta merta ke atas buasir yang aku sayangi. Dan serta mertalah badan aku menggigil kerana kehilangan sesuatu yang aku sayangi bertahun lamanya dan juga kerana kesakitan yang sukar aku gambarkan. Kehilangan buasir ini amat menyakitkan dan benar-benar menyakitkan. Tetapi aku berpuas hati walaupun dalam kesakitan yang sangat sukar digambarkan, aku berjaya hilangkan kesakitan yang 10 tahun berpanjangan dalam hanya masa sesingkat ini. Aku pengsan dalam tidur selama 3 jam sesampai dirumah kerana kesakitan yang benar-benar membuatkan seluruh sistem badan menggigil dan lemah. Mungkin kerana eratnya pertalian seluruh sistem badan ini dengan buasir yang dihukum pasung tadi. Apapun diharap buasir tadi hanya menjadi sejarah buat aku dan semoga ianya tidak menjadi sejarah yang mungkin berulang.

10 tahun dinilai amatlah lama dan boleh digambarkan betapa akrabnya kami tetapi kerana angkara ego yang dipadamkan dan keberanian maka terputuslah hubungan yang terbina dalam hanya masa 10~15 minit saja. Apa nak diheran..dalam politik, sahabat berpuluh tahun pun boleh dilepaskan atau dihapuskan dalam tempoh sesingkat ini juga.
Sama atau tidak, insiden buasir ini adalah pengajaran dan ianya rapat dengan sifat manusia dalam aspek politik, sosial dan ekonomi. Para doktor sendiri berpendapat buasir ini adalah penyakit orang-orang kaya yang banyak makan dan mewah dengan segala jenis makanan...

Di bawah ini dilampirkan sedikit sebanyak analisa-analisa pakar tentang penyakit buasir dan rawatan sewajarnya. Bertindak sebelum terlambat dan belajarlah berkorban walaupun ianya sesuatu yang anda sayangi.

http://mestikasunnah.blogspot.com/2010/01/buasir-dan-bahaya-darah-dalam-najis.html


http://klinikmansurah.blogspot.com/2009/02/buasir-hemorrhoid.html


http://ttuyup.wordpress.com/2007/03/10/pph-bedah-buasir-tidak-menyakitkan/

1 comment:

Leenoh said...

Salam sdr.

kurangkan pedas cara rawatan yang amat berkesan.